1.0
PENGHARGAAN
Bismillahirahmanirahim…
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat illahi
dengan limpahan rahmat serta nikmat masa, nyawa tenaga yang dianugerahkan
kepada saya dapat juga saya menyiapkan tugasan ini dengan jayanya.
Pertamanya, saya ingin mendedikasikan
ucapan penghargaan ini kepada pensyarah Cik Nor Farihah binti Hussain kerana
dengan tunjuk ajar serta bimbingan daripadanya membuka ruang untuk saya
menyiapkan tugasan ini dengan suksesnya.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih
yang tidak terhingga kepada ibu bapa saya yang memberi saya pemudahcara untuk
menyiapkan tugasan ini. Mereka telah memberikan saya segala kemudahan dan
sokongan moral yang tidak terhingga sampai saya berjaya menghabiskan tugasan ini.
Ucapan penghargaan ini juga saya tujukan
kepada rakan-rakan yang banyak memberi peringatan terhadap setiap apa yang saya
telah alpa. Mereka membantu saya dengan menjawab setiap pertanyaan yang saya
utarakan kepada mereka.
Akhir madah, saya mengucapkan terima kasih
kepada mereka yang terlibat sama ada secara langsung ataupun sebaliknya dalam
pembikinan tugasan ini. Sekian, terima kasih.
2.0
PENGENALAN
Pengajaran dan pembelajaran dalam
pendidikan awal kanak-kanak adalah lebih berkesan jika dilakukan melalui
aktiviti bermain kerana bermain adalah sebahagian daripada dunia kanak-kanak.
Melalui aktiviti bermain kanak-kanak belajar dan memahami isu-isu yang berlaku
di sekeliling mereka dalam keadaan yang menggembirakan dan bermakna kepada
mereka. Pakar dalam bidang perkembangan kanak-kanak percaya aktiviti bermain
merangsang fungsi otak yang dapat memupuk perkembangan kognitif, sosial, emosi
dan fizikal kanak-kanak. Apabila kanak-kanak seronok belajar sesuatu perkara,
mereka terus berminat untuk mengambil bahagian dalam pembelajaran, kesannya
tumpuan kepada sesuatu perkara menjadi semakin baik. Oleh itu, kanak-kanak
lebih berkembang apabila belajar melalui bermain.
Selain itu, semasa bermain, kanak-kanak
berinteraksi dengan rakan sebaya ataupun orang dewasa melalui perbincangan dan
soal jawab. Kanak-kanak belajar berkomunikasi, berinteraksi dan menyesuaikan
diri dengan persekitaran melalui bermain. Melalui aktiviti bermain kanak-kanak
lebih fokus dengan segala perkara berkaitan aktiviti permainan yang dilakukan.
Justeru, kanak-kanak mendapat pengalaman
pembelajaran yang bermakna dan proses pengajaran dan pembelajaran
menjadi lebih baik. Malangnya, ramai ibu bapa malahan ada guru dan pengusaha
pusat pendidikan awal kanak-kanak menganggap kaedah bermain kurang penting dan
menekankan fokus kepada pencapaian akademik. Kesannya banyak program pendidikan
awal kanak-kanak menggunakan kaedah melatih tubi dan mengabaikan aktiviti
bermain dalam kurikulum pendidikan awal kanak-kanak.
Teori perkembangan kanak-kanak Erikson dan
Piaget menekankan keupayaan yang berbeza boleh dilakukan kanak-kanak pada tahap
yang berlainan. Tahap ini adalah mengikut perkembangan kanak-kanak dan
perkembangan ini dapat diasah dan ditingkatkan mengikut keperluan kanak-kanak.
Menurut pakar pendidikan awal kanak-kanak, pembelajaran tidak boleh dipisahkan
dengan kehidupan seharian kanak-kanak, malah pembelajaran mestilah berdasarkan
keperluan dan minat kanak-kanak. Badan penyelidikan pendidikan awal kanak-kanak
National Association for the Education of
Young Children (NAEYC) percaya bahawa kanak-kanak belajar mengikut
keperluan dan perkembangan mereka. NAEYC sentiasa menekankan amalan-amalan
terbaik dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan awal
kanak-kanak seharusnya bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak.
Pelaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah
Kebangsaan (KSPK) ialah menekankan kemahiran bahasa. Malah, fokus utama proses
pengajaran dan pembelajarannya ialah berpusatkan kanak-kanak, menggunakan
pendekatan pengajaran dan pembelajaran bersepadu, bertema, belajar melalui
bermain, pembelajaran kontekstual dan pembelajaran berasaskan projek. Developmentally Appropriate Practices
(DAP) menfokuskan penggunaan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan
kanak-kanak secara aktif melalui pelbagai aktiviti bersesuaian dengan umur,
kebolehan, bakat dan minat kanak-kanak. Antaranya ialah aktiviti bermain,
melakukan inkuiri, meneroka dan menyiasat, membuat eksperimen dan membuat
projek amat digalakkan dalam Developmentally
Appropriate Practices (DAP).
3.0
REFLEKSI JURNAL
3.1 AKTIVITI BERMAIN
DALAM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
Kurikulum melibatkan kedua-dua pengalaman
yang dirancang dan tidak dirancang wujud daripada nilai dan sikap yang
dihasilkan guru dan pentadbir sekolah, ibu bapa dan masyarakat. Dalam
pergerakan prograsif, tokoh menyarankan bahawa pengalaman kurikulum perlu berasaskan
pada minat dan penglibatan kanak-kanak dalam pengalaman yang aktif. Selain itu,
peringkat prasekolah adalah masa terbaik dalam proses perkembangan kanak-kanak
dari segi mental, fizikal, sosial dan emosional. Malah, kurikulum yang
bersesuaian dengan kanak-kanak ialah kurikulum yang dapat membina kemahiran
kognitif dengan memberikan pengalaman yang konkrit, releven dan bersesuaian
dengan keperluan dan tahap perkembangan kanak-kanak. Bermain juga dapat
merangsang fungsi-fungsi otak dan domain pembelajaran berintegerasi antara satu
sama lain secara semula jadi.
Seterusnya, aktiviti bermain dapat dilihat
sejak kanak-kanak masih bayi lagi, iaitu apabila bayi mula bermain dan
memanipulasi alat permainan yang diletakkan di sekelilingnya. Pada peringkat
sensori motor (0 hingga 2 tahun), bayi belajar melalui interaksi dengan
benda-benda di sekeliling dan keupayaan kognitif mula berkembang. Sebaik sahaja
bayi bertatih, pergerakan mereka semakin aktif dan semasa bermain mereka
menjadi lebih imaginatif. Di samping itu, kanak-kanak yang baru bertatih
mengasah kemahiran dan kemahiran ini seterusnya dikembangkan melalui aktiviti
yang lebih mencabar apabila meningkat dewasa. Selain itu, aktiviti bermain
adalah penting untuk perkembangan kanak-kanak dan kanak-kanak bermain dengan
pelbagai cara. Kanak-kanak belajar kemahiran tentang dunia di sekeliling mereka
dengan efektif melalui bermain.
Selanjutnya, tokoh pendidikan awal
kanak-kanak seperti Friedrich Froebel dan Maria Montesori yakin bahawa bermain adalah
penting untuk kanak-kanak. Froebel yang pernah mengasaskan Kindergarten berpandangan bermain adalah penting dalam pembelajaran
secara tidak langsung. Maria Montesori yang membangunkan kurikulum berasaskan
aktiviti bermain percaya bahawa kanak-kanak perlu bermain dan berhak menentukan
sendiri bagaimana mereka hendak bermain dan belajar. Kanak-kanak berpeluang
melakukan aktiviti yang bermakna yang dapat memupuk perkembangan bahasa,
kognitif, social, emosi dan fizikal. Pakar dalam bidang perkembangan kanak-kanak
percaya bahawa bermain adalah cara terbaik bagi kanak-kanak mempelajari konsep
dan kemahiran yang kemudiannya akan digunakan untuk mempelajari perkara-perkara
baharu pada masa akan datang. Pakar dalam perkembangan kanak-kanak yang melihat
pendekatan aktiviti permainan dari segi perkembangan kognitif mendapati
kanak-kanak teruja dengan aktiviti permainan, terlibat secara aktif, berasa
seronok dan kreatif.
3.1.0 PERMAINAN
MOTOR/FIZIKAL
Tokoh pendidikan awal kanak-kanak
mengatakan pendidikan fizikal adalah sebahagian daripada proses pendidikan yang
berlaku melalui pengalaman dalam pelbagai situasi. Permainan motor dapat
meningkatkan kemahiran motor kasar dan motor halus kanak-kanak. Kemahiran motor
yang melibatkan pergerakan otot-otot kasar dan halus kanak-kanak, dapat
dikembangkan melalui aktiviti fizikal. Kemahiran motor halus melibatkan kemahiran
manipulatif otot-otot kecil seperti menggenggam, mengoyak, menggunting,
meramas, menggentel dan menguli. Kemahiran motor halus penting untuk kanak-kanak
mempelajari konsep-konsep asas seperti menjalankan tugas-tugas harian.
Contohnya, membutang baju, memegang pensel, mengikat tali kasut dan sebagainya.
Manakala, kemahiran motor kasar melibatkan kemahiran manipulatif otot-otot
kasar pada seluruh badan seperti melompat, berlari dan memanjat. Semasa
kanak-kanak bermain, kanak-kanak membuat gerakan otot-otot kasar dan halus
mereka. Pada masa ini juga kanak-kanak menggunakan koordinasi mata dan tangan
mereka untuk mengawal segala pergerakan. Kemahiran motor dan pengawalannya
berkaitan dengan kemahiran kecekapan otak, iaitu semasa pergerakan, sistem saraf
pada otak dan otot badan bekerja bersama.
3.1.1 PERMAINAN SOSIAL
Apabila kanak-kanak berinteraksi antara
satu sama lain semasa bermain, kanak-kanak belajar kemahiran sosial seperti,
bertolak ansur, bekerjasama dan berkongsi sesuatu. Semasa kanak-kanak bermain,
mereka bersosial dengan rakan sebaya. Permainan sosial, boleh berlaku dalam
kumpulan ataupun individu. Sebagai contoh, apabila kanak-kanak berinteraksi
dengan rakannya dan bertanya ataupun meminjam alat permainan walaupun
kanak-kanak tersebut tidak bermain dengan rakannya itu tetapi akan berlaku juga
interaksi sesama mereka.
3.1.2 PERMAINAN
KONSTRUKTIF
Permainan konstruktif berlaku apabila kanak-kanak
membina sesuatu dengan memanipulasi persekitaran. Froebel merujuk permainan
konstruktif sebagai aktiviti yang melibatkan pergerakan motor halus seperti
menganyam, menggentel, melipat kertas dan menyulam. Permainan seperti membina
bangunan daripada blok, bermain pasir dan mencipta bahan-bahan kraf merupakan
permainan konstruktif. Permainan konstruktif memberi peluang kanak-kanak
belajar membuat sesuatu dan apabila kanak-kanak bermain secara konstruktif,
mereka belajar melakukan sesuatu tugas sehingga selesai. Bermain secara
konstruktif juga melibatkan kemahiran manipulatif. Kanak-kanak yang memiliki
kemahiran manipulatif berupaya memanipulatif idea, konsep dan pendapat.
3.1.3 PERMAINAN FANTASI
Salah satu cara yang paling berkesan untuk
kanak-kanak belajar dan mempraktikkan kemahiran imaginasi mereka adalah melalui
permainan fantasi. Permainan ini dilakukan secara spontan dengan menggunakan
peralatan ataupun tanpa peralatan dan dilakukan berasaskan imaginasi
kanak-kanak. Bermain pondok-pondok misalnya dapat meningkatkan pemahaman
kanak-kanak tentang dunia di sekelilingnya dan bagaimana hendak bersosial
dengan rakan sebaya. Semasa permainan fantasi, kanak-kanak belajar bagaimana
hendak menggambarkan sesuatu watak dalam sesuatu situasi. Mereka menggunakan
imaginasi dan bahasa untuk menyatakan idea, konsep dan keinginan. Mereka juga
berupaya mengubah idea menjadi fantasi secara kreatif.
3.1.4 PERMAINAN
MENGIKUT PERATURAN
Sejak kecil lagi kanak-kanak diajar
mematuhi peraturan melalui permainan. Melalui permainan berperaturan,
kanak-kanak mempelajari cara-cara mematuhi peraturan, menyesuaikan diri dan
menyelesaikan masalah. Kanak-kanak memahami peraturan sosial melalui permainan
yang memerlukan mereka mengikut peraturan. Permainan seperti dam, catur, kad
dan monopoli mengajar kanak-kanak bahawa setiap individu perlu mematuhi
peraturan yang ditetapkan. Permainan sebegini dapat membantu kanak-kanak
memahami konsep-konsep peraturan dan perlunya mematuhi undang-undang.
3.2 BERMAIN SEBAGAI
MEDIUM PERKEMBANGAN BAHASA DAN LITERASI
Tokoh berpendapat, proses mental yang
lebih tinggi berkembang apabila kanak-kanak membentuk pertuturan semasa
melakukan aktiviti praktikal. Sebelum kanak-kanak bertutur, mereka menggunakan
alat bagi menyempurnakan tugas, tetapi
setelah mereka bertutur menggunakan bahasa dalam aktiviti. Tingkah laku mereka
berubah melalui penggunaan bahasa dan aktiviti tersebut. Pada masa yang sama
mereka berupaya merancang dan menguasai
persekitaran sekeliling mereka. Tokoh menekankan permainan adalah pilihan
kanak-kanak sendiri dan disokong oleh guru ataupun orang dewasa melalui
perbincangan dan sesi soal jawab. Melalui bermain, kanak-kanak belajar
berkomunikasi, menyesuaikan diri dengan persekitaran, berinteraksi dengan rakan
dan mengenali benda-benda di sekeliling mereka.
Berdasarkan teori Piaget pada peringkat
praoperasional (umur 2-7 tahun) kemahiran bahasa kanak-kanak berkembang dengan
cepat dan dapat diasah melalui pelbagai aktiviti. Tokoh mengatakan, kanak-kanak
yang berada di prasekolah mengikut teori perkembangan kognitif Piaget berada
pada peringkat praoperasional dan konkrik operasi. Pada peringkat ini proses
pembelajaran tindakan secara mental terhadap sesuatu perkara ataupun objek
berlaku. Semasa proses ini kanak-kanak belajar bagaimana menggunakan perkataan
dan gambaran untuk mewakilkan objek.
Bahasa ialah sistem pelambangan yang
paling canggih, kompleks dan luwes. Bahasa mengandungi beberapa aspek dan
setiap aspek mempunyai peraturannya sendiri. Aspek-aspek ini terdiri daripada
fonologi, sintaksis, semantik dan pragmatik. Pembelajaran bahasa kanak-kanak
ialah proses berterusan yang berlaku setiap hari melalui aktiviti terutamanya
aktiviti bermain.
3.3 KEMAHIRAN
MEMBACA MELALUI AKTIVITI BERMAIN
Kemahiran membaca adalah kemahiran yang
penting dalam pendidikan terutamanya pada peringkat awal alam persekolahan
kerana kemahiran membaca mempunyai hubungan dengan penguasaan bahasa.
Penguasaan bahasa kanak-kanak adalah asas perkembangan kognitif yang melibatkan
kegiatan memperoleh pengetahuan melalui pengalaman membaca. Kelemahan
penguasaan bahasa lama-kelamaan akan membawa kesan yang berlanjutan terutamanya
dari segi pemerolehan pengetahuan. Jadi, kelemahan penguasaaan bahasa dalam
kalangan pelajar terutamanya yang lemah membaca tidak boleh dipandang ringan.
Ini adalah kerana maklumat yang diperoleh dalam pembacaan boleh digunakan untuk
pelbagai aspek dalam kehidupan dan pelajar yang menghadapi masalah membaca
sukar untuk mencapai keputusan yang baik dalam mata pelajaran.
Kemahiran membaca yang lemah menyebabkan
kanak-kanak tidak dapat mengikuti pembelajaran formal. Malah, kegagalan membaca
akan membawa kepada risiko kegagalan semasa di sekolah. Kajian mengatakan
kanak-kanak memperoleh kemahiran kesediaan membaca yang menyeluruh mendapat
keputusan yang baik pada tahap tinggi dan mampu memberi respons yang
merangsangkan. Kanak-kanak yang mahir membaca lebih terdedah dengan pembacaan
buku yang ditentukannya sendiri. Menurut tokoh, interaksi buku dan rakan sebaya
dapat memberi peluang kepada kanak-kanak meneroka dunia buku mengikut citarasa mereka
iaitu mereka dapat mencuba membaca dan mengenali konsep membaca bersama
rakan-rakan sebaya.
3.4 KURIKULUM BAHASA
DAN LITERASI BERASASKAN AKTIVITI BERMAIN
Belajar melalui bermain menjadi fokus
kurikulum prasekolah di Malaysia. Kurikulum Smart
Reader adalah antara kurikulum yang menggunakan pendekatan bermain dalam
pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kurikulum yang menggunakan metadologi mengajar
secara kreatif ini, menggalakkan guru sentiasa berfikir secara kreatif semasa
merancang pengajaran. Sebelum mengajar, guru perlu menyediakan rancangan
mengajar dan bahan bantu mengajar daripada bahan-bahan kitar semula untuk
dijadikan bahan aktiviti semasa pembelajaran melalui bermain. Bahan bantu
mengajar ini direka guru mengikut idea guru itu sendiri dan objektif pengajaran
dan pembelajaran berdasarkan silibus yang diberikan. Setiap hari guru perlu
mengemukakan idea baru dan mempelbagaikan aktiviti supaya pembelajaran tidak
membosankan. Bagaimana guru mengajar di kelas adalah bergantung kepada daya
kreatif itu sendiri. Selain itu, kanak-kanak didedahkan dengan konsep makna
dengan memahami maksud perkataan melalui objek dan gambar. Setelah kanak-kanak
dapat membaca dengan baik melalui kaedah fonetik, penguasaan bahasa dan
komunikasi kanak-kanak dikembangkan melalui aktiviti bahasa seperti drama, main
peranan dan lakonan.
Seterusnya, Maria Montessori pengasas
program Montessori percaya bahawa kanak-kanak belajar melalui lima deria iaitu
melihat, mendengar, merasa dan menyentuh. Maria telah mereka bahan-bahan
pembelajaran yang berasaskan aktiviti dan melakukan pemerhatian bagaimana
kanak-kanak bermain dengan bahan-bahan ini. Hasilnya kurikulum Montessori
menjadi sangat popular dalam pendidikan awal kanak-kanak. Kurikulum High Scope
yang diasaskan oleh David P. Weikart mengatakan bahawa kanak-kanak sebagai
pelajar yang aktif seharusnya belajar melalui aktiviti yang dirancang,
dilaksana dan direfleksikan oleh mereka sendiri. High Scope menggalakkan kanak-kanak belajar melalui penerokaan
dengan bermain.
3.4.0 CONTOH AKTIVITI
PENGAJARAN BAHASA MELAYU BERASASKAN MAIN
(A) Aktiviti 1: Fail
Vokal
i.
Objektif :
Mengecam, membunyikan huruf vokal dan mengaitkan bunyi vokal dengan gambar.
ii.
Cara bermain :
Individu.
iii.
Bahan : Fail
berplastik lutsinar di dalamnya, kad vokal a,e,i, o dan u, kad gambar ayam,
epal, ikan, obor dan ular.
iv.
Pelaksanaan :
·
Ajak murid
menyusun/memasukkan kad-kad vokal a,e,i,o dan u dan kad-kad gambar ke dalam
fail.
·
Pastikan kad
vokal di susun bersebelahan dengan kad gambar yang betul, misalnya kad vokal a
disusun sebelah gambar ayam.
·
Ajak murid
membunyikan huruf vokal dan mengaitkannya dengan gambar, misalnya vokal a
kaitkan dengan gabar ayam, kemudian sebut a “a”, “ayam”.
·
Ajak murid
membunyikan huruf vokal dan mengaitkannya dengan gambar, misalnya vokal a
kaitkan dengan gabar ayam, kemudian sebut a “a”, “ayam”.
v.
Hasil
pembelajaran : Murid dapat mengecam dan membunyikan huruf vokal dengan betul
dan mengaitkan bunyi vokal dengan gambar yang bunyinya bermula dengan vokal
itu.
(B)
Aktiviti 2 : Muzik Suku Kata
i.
Objektif :
Mengecam dan membunyikan suku kata.
ii.
Cara bermain :
Kumpulan.
iii.
Bahan :
Botol-botol plastik yang dilebalkan dengan suku kata dan kacang hijau.
iv.
Pelaksanaan :
·
Masukkan kacang
hijau ke dalam botol-botol dan tutup dengan penutup botol.
·
Berikan botol
kepada setiap murid-murid.
·
Guru menyebut
satu suku kata, misalnya suku kata ‘na’
·
Murid yang
memegang botol berlebal suku kata ‘na’, dikehendaki menggongcang botolnya.
·
Ulang aktiviti
dengan suku kata lain sehingga menghasilkan rentak muzik.
v.
Hasil
pembelajaran : Murid dapat mengecam dan membunyikan suku kata dengan betul.
(C)
Aktiviti 3 : Gaul dan Pilih
i.
Objektif :
Mengecam dan membunyikan suku kata.
ii.
Bahan :
Bola-bola ping-pong yang dilebalkan dengan suku kata, sebiji mangkuk besar dan
beberapa biji mangkuk-mangkuk kecil.
iii.
Cara bermain :
Individu ataupun kumpulan.
iv.
Pelaksanaan :
·
Guru mengajak
murid-murid duduk di sekeliling meja.
·
Guru memberikan
setiap murid-murid sebatang senduk dan mangkuk kosong.
·
Guru meletakkan
mangkuk besar yang diisi dengan bola-bola ping-pong berlabel suku kata di
tengah-tengah meja.
·
Guru mengajak
murid-murid menggaul bola-bola ping-pong di dalam mangkuk besar menggunakan
senduk masing-masing.
·
Guru menyebut
satu bunyi suku kata, misalnya suku kata ‘ba’ dan mengajak murid-murid mencari
bola ping-pong yang berlebal suku kata ‘ba’.
·
Murid-murid menyenduk
bola ping-pong berlabel ‘ba’ dan memasukkan ke dalam mangkuk masing-masing
sambil menyebut ‘ba’.
·
Ulang aktiviti
dengan mencari suku kata lain.
v.
Hasil
pembelajaran : Murid dapat mengecam dan membunyikan suku kata dengan betul.
(D) Aktiviti 4 : Papet Bergambar
i.
Objektif :
Membina dan membaca perkataan.
ii.
Bahan : Kad-kad
suku kata (pastikan kad-kad ini boleh membina perkataan), papet bergambar yang
boleh dipegang dan seutas tali.
iii.
Cara bermain :
Individu ataupun berkumpulan.
iv.
Pelaksanaan :
·
Gantungkan
kad-kad suku kata pada tali yang diikat melintang.
·
Berikan murid
papet bergambar dan ajak murid namakan gambar pada papet.
·
Ajak murid
menepuk suku kata yang tergantung menggunakan papet misalnya jika papet yang
dipegang bergambar baju murid dikehendaki menepuk kad suku kata ‘ba’ dan ‘ju’
yang digantungkan.
·
Sebutkan ‘ba’
dan ‘ju’ semasa menepuk suku kata, kemudian sebut ‘baju’.
·
Ulang aktiviti
dengan papet bergambar lain.
v.
Hasil
pembelajaran : Murid dapat membina dan membaca perkataan dengan betul.
(E) Aktiviti 5 : Baling
dan Sebut
i.
Objektif :
Membina dan membaca perkataan.
ii.
Bahan :
Pundi-pundi kacang yang dilebal suku kata (pastikan pundi kacang ini boleh
membina perkataan), tiga gegelung hula-hop
dan objek-objek sebenar seperti buku, baju dan sudu.
iii.
Cara bermain : Kumpulan
iv.
Pelaksanaan :
·
Letakkan tiga
gegelung hula-hop lebih kurang dua
meter di hadapan tiga orang pelajar.
·
Letakkan buku,
pasu dan sudu setiap satu ke dalam gegelung hula-hop.
·
Longgokkan pundi
kacang berlabel suku kata di hadapan murid.
·
Murid menamakan
objek sebenar di dalam gegelung hula-hop
dan membaling pundi kacang yang betul ke dalam gegelung hula-hop, misalnya membaling pundi kacang berlabel ‘ba’ dan ‘ju’ ke
dalam gegelung hula-hop yang
mengandungi baju.
·
Sebut suku kata
‘ba’ dan ‘ju’, dan kemudiannya perkataan ‘baju’.
·
Ulang aktiviti
dengan objek lain.
v.
Hasil
pembelajaran : Murid dapat membina dan membaca perkataan dengan betul.
4.0 CADANGAN / IMPLIKASI
Pada pendapat saya, ibu bapa dan guru
haruslah memainkan peranan penting dalam pendidikan kanak-kanak. Mereka tidak
perlu menekankan fokus kepada pencapaian akademik sahaja. Malahan, kokurikulum
juga penting dalam proses pembelajaran mereka. Aktiviti ini dijalankan diluar
bilik darjah dari segi ketahanan fizikal dan mental. Selain itu, ibu bapa dan
guru haruslah menerapkan teori Erikson dan Maria Mentossori dalam pembelajaran
kanak-kanak di rumah dan di sekolah. Pengajaran dan pembelajaran dalam
pendidikan awal kanak-kanak adalah lebih berkesan jika dilakukan melalui
aktiviti bermain kerana bermain adalah sebahagian daripada dunia kanak-kanak.
Seterusnya, bagi kanak-kanak yang baru
melangkah kealam persekolahan, guru haruslah
menggunakan teknik yang berkesan untuk menarik minat pelajar. Sebagai
contoh terdekat, awal januari 2017, setelah bercuti panjang, beberapa buah
sekolah di Malaysia, guru mengenakan kostium superhero seperti ultraman dan
badman untuk menarik minat kanak-kanak ke sekolah. Dengan itu, kanak-kanak akan
lebih berminat untuk datang ke sekolah dengan menganggapkan sekolah tidak membosankan
mereka. Ibu bapa turut haruslah memberi sokongan kepada anak-anak supaya mereka
minat dan seronok ke sekolah.
Di samping itu, tranformasi kurikulum
pendidikan prasekolah melalui pelaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah
Kebangsaan (KSPK) 2010 menekankan kemahiran bahasa. Guru mestilah menekankan
KSPK dalam skop pengajaran dan pembelajaran. Guru janganlah mengambil remeh
terhadap kanak-kanak yang baru masuk kealam persekolahan kerana ada dalam
kalangan mereka yang serba kekurangan. Terdapat sesetengah pelajar yang berumur
enam tahun baru melangkah kealam persekolahan. Mereka tidak mendapat pendidikan
awal dari ibu bapa mereka kerana berlatar belakangkan serba kekurangan. Oleh
itu, guru harus mengambil alih tanggungjawab tersebut untuk mendidik anak-anak
mereka.
Kesimpulannya, guru mestilah menjadi
tunjang utama dalam mendidik anak bangsa supaya dapat melahirkan individu yang
berguna dan terpelajar kepada agama, bangsa dan Negara. Dengan adanya individu
yang berdedikasi dan berilmu, sesebuah Negara dapat mengatasi masalah yang
timbul dengan mudah dan berkesan. Selain itu, ibu bapa juga turut memainkan
peranan untuk mendidik anak-anak supaya anak-anak dapat dibentuk dengan akhlak
yang baik. Hal ini dapat melahirkan generasi yang berakhlak dalam sesebuah
Negara.
5.0
KESIMPULAN
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan
(KSPK) 2010 memfokuskan pembelajaran berpusatkan kanak-kanak dan antara focus
utamanya ialah pembelajaran melalui bermain. Dalam KSPK aktiviti belajar
melalui bermain amat digalakkan sama ada di dalam ataupun di luar bilik darjah.
Guru menyediakan ruang bermain dengan meletakkan pelbagai bahan yang dapat
merangsangkan kanak-kanak untuk bermain. Bagi memastikan proses pengajaran dan
pembelajaran berjalan lancar, guru diperlukan merancang pengajaran harian
dengan mengenal pasti objektif, bahan-bahan aktiviti, pelaksanaan dan hasil
pembelajaran yang ingin dicapai. Guru digalakkan melakukan permainan seperti permainan
air, permainan pasir, permainan pondok-pondok dan permainan tradisional yang
melibatkan kanak-kanak secara aktif, berinteraksi dan berkomunikasi dengan
rakan sebaya.
Selain dapat membantu kanak-kanak belajar
membaca dalam keadaan yang menyeronokkan, penggunaan aktiviti permainan dalam
pendekatan pengajaran dan pembelajaran membaca dikatakan dapat meningkatkan
kemahiran bahasa kanak-kanak. Berdasarkan unsur-unsur dalam kemahiran bahasa
Melayu yang difokuskan dalam Tunjang Komunikasi KSPK ialah kemahiran bahasa
yang merangkumi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Kemahiran
membaca pula melibatkan kemahiran mengenal huruf, mengenal vokal, mengenal
konsonan, membaca suku kata, membaca perkataan, membaca frasa, membaca ayat
tunggal, membaca ayat dalam konteks, memahami bahan bacaan, membaca buku dengan
betul dan mengamal tabiat membaca.
Pengajaran berkait rapat dengan
tanggungjawab guru sebagai penyampai ilmu dan keberkesanan pengajaran banyak
bergantung kepada sejauh mana guru berjaya mencapai objektif pengajarannya
dalam membantu kanak-kanak belajar apa yang diajarkan. Justeru, bagi memastikan
hasil pembelajaran dapat dicapai dan masa yang diperuntukkan digunakan dengan
sebaiknya, guru perlu bijak merancang, menguruskan dan mengelola pengajaran.
Transformasi kurikulum pendidikan prasekolah melakukan KSPK 2010 menyeru guru
menfokus proses pengajaran dan pembelajaran yang mengembirakan dan bermakna
kepada kanak-kanak. Belajar melalui bermain terbukti sebagai amalan terbaik
dalam pendidikan awal kanak-kanak. Justeru, adalah lebih berfaedah jika masa
mengajar bahasa yang disasarkan selama empat jam seminggu dalam KSPK
dimanfaatkan dengan sebaiknya dengan melakukan aktiviti pendekatan pengajaran
dan pembelajaran melalui bermain. Oleh itu, pengetahuan berkenaan pendekatan
berkesan berdasarkan fitrah kanak-kanak perlu diketahui guru bagi menjawab
soalan paling penting, iaitu apakah yang terbaik untuk kanak-kanak supaya
segala hasil pembelajaran dapat dicapai dengan cemerlang.
5.0 BIBLIOGRAFI
ArticleID=367.
(23 April 2011)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan