Ahad, 2 September 2018

AKTIVITI BERMAIN UNTUK KANAK-KANAK


  
   Kurikulum melibatkan kedua-dua pengalaman yang dirancang dan tidak dirancang wujud daripada nilai dan sikap yang dihasilkan guru dan pentadbir sekolah, ibu bapa dan masyarakat. Dalam pergerakan prograsif, tokoh menyarankan bahawa pengalaman kurikulum perlu berasaskan pada minat dan penglibatan kanak-kanak dalam pengalaman yang aktif. Selain itu, peringkat prasekolah adalah masa terbaik dalam proses perkembangan kanak-kanak dari segi mental, fizikal, sosial dan emosional. Malah, kurikulum yang bersesuaian dengan kanak-kanak ialah kurikulum yang dapat membina kemahiran kognitif dengan memberikan pengalaman yang konkrit, releven dan bersesuaian dengan keperluan dan tahap perkembangan kanak-kanak. Bermain juga dapat merangsang fungsi-fungsi otak dan domain pembelajaran berintegerasi antara satu sama lain secara semula jadi.

     Seterusnya, aktiviti bermain dapat dilihat sejak kanak-kanak masih bayi lagi, iaitu apabila bayi mula bermain dan memanipulasi alat permainan yang diletakkan di sekelilingnya. Pada peringkat sensori motor (0 hingga 2 tahun), bayi belajar melalui interaksi dengan benda-benda di sekeliling dan keupayaan kognitif mula berkembang. Sebaik sahaja bayi bertatih, pergerakan mereka semakin aktif dan semasa bermain mereka menjadi lebih imaginatif. Di samping itu, kanak-kanak yang baru bertatih mengasah kemahiran dan kemahiran ini seterusnya dikembangkan melalui aktiviti yang lebih mencabar apabila meningkat dewasa. Selain itu, aktiviti bermain adalah penting untuk perkembangan kanak-kanak dan kanak-kanak bermain dengan pelbagai cara. Kanak-kanak belajar kemahiran tentang dunia di sekeliling mereka dengan efektif melalui bermain.  

     Selanjutnya, tokoh pendidikan awal kanak-kanak seperti Friedrich Froebel dan Maria Montesori yakin bahawa bermain adalah penting untuk kanak-kanak. Froebel yang pernah mengasaskan Kindergarten berpandangan bermain adalah penting dalam pembelajaran secara tidak langsung. Maria Montesori yang membangunkan kurikulum berasaskan aktiviti bermain percaya bahawa kanak-kanak perlu bermain dan berhak menentukan sendiri bagaimana mereka hendak bermain dan belajar. Kanak-kanak berpeluang melakukan aktiviti yang bermakna yang dapat memupuk perkembangan bahasa, kognitif, social, emosi dan fizikal. Pakar dalam bidang perkembangan kanak-kanak percaya bahawa bermain adalah cara terbaik bagi kanak-kanak mempelajari konsep dan kemahiran yang kemudiannya akan digunakan untuk mempelajari perkara-perkara baharu pada masa akan datang. Pakar dalam perkembangan kanak-kanak yang melihat pendekatan aktiviti permainan dari segi perkembangan kognitif mendapati kanak-kanak teruja dengan aktiviti permainan, terlibat secara aktif, berasa seronok dan kreatif.


(1)    PERMAINAN MOTOR/FIZIKAL

     Tokoh pendidikan awal kanak-kanak mengatakan pendidikan fizikal adalah sebahagian daripada proses pendidikan yang berlaku melalui pengalaman dalam pelbagai situasi. Permainan motor dapat meningkatkan kemahiran motor kasar dan motor halus kanak-kanak. Kemahiran motor yang melibatkan pergerakan otot-otot kasar dan halus kanak-kanak, dapat dikembangkan melalui aktiviti fizikal. Kemahiran motor halus melibatkan kemahiran manipulatif otot-otot kecil seperti menggenggam, mengoyak, menggunting, meramas, menggentel dan menguli. Kemahiran motor halus penting untuk kanak-kanak mempelajari konsep-konsep asas seperti menjalankan tugas-tugas harian. Contohnya, membutang baju, memegang pensel, mengikat tali kasut dan sebagainya. Manakala, kemahiran motor kasar melibatkan kemahiran manipulatif otot-otot kasar pada seluruh badan seperti melompat, berlari dan memanjat. Semasa kanak-kanak bermain, kanak-kanak membuat gerakan otot-otot kasar dan halus mereka. Pada masa ini juga kanak-kanak menggunakan koordinasi mata dan tangan mereka untuk mengawal segala pergerakan. Kemahiran motor dan pengawalannya berkaitan dengan kemahiran kecekapan otak, iaitu semasa pergerakan, sistem saraf pada otak dan otot badan bekerja bersama.

(2)    PERMAINAN SOSIAL

     Apabila kanak-kanak berinteraksi antara satu sama lain semasa bermain, kanak-kanak belajar kemahiran sosial seperti, bertolak ansur, bekerjasama dan berkongsi sesuatu. Semasa kanak-kanak bermain, mereka bersosial dengan rakan sebaya. Permainan sosial, boleh berlaku dalam kumpulan ataupun individu. Sebagai contoh, apabila kanak-kanak berinteraksi dengan rakannya dan bertanya ataupun meminjam alat permainan walaupun kanak-kanak tersebut tidak bermain dengan rakannya itu tetapi akan berlaku juga interaksi sesama mereka.

(3)   PERMAINAN KONSTRUKTIF

     Permainan konstruktif berlaku apabila kanak-kanak membina sesuatu dengan memanipulasi persekitaran. Froebel merujuk permainan konstruktif sebagai aktiviti yang melibatkan pergerakan motor halus seperti menganyam, menggentel, melipat kertas dan menyulam. Permainan seperti membina bangunan daripada blok, bermain pasir dan mencipta bahan-bahan kraf merupakan permainan konstruktif. Permainan konstruktif memberi peluang kanak-kanak belajar membuat sesuatu dan apabila kanak-kanak bermain secara konstruktif, mereka belajar melakukan sesuatu tugas sehingga selesai. Bermain secara konstruktif juga melibatkan kemahiran manipulatif. Kanak-kanak yang memiliki kemahiran manipulatif berupaya memanipulatif idea, konsep dan pendapat.


(4)   PERMAINAN FANTASI
     Salah satu cara yang paling berkesan untuk kanak-kanak belajar dan mempraktikkan kemahiran imaginasi mereka adalah melalui permainan fantasi. Permainan ini dilakukan secara spontan dengan menggunakan peralatan ataupun tanpa peralatan dan dilakukan berasaskan imaginasi kanak-kanak. Bermain pondok-pondok misalnya dapat meningkatkan pemahaman kanak-kanak tentang dunia di sekelilingnya dan bagaimana hendak bersosial dengan rakan sebaya. Semasa permainan fantasi, kanak-kanak belajar bagaimana hendak menggambarkan sesuatu watak dalam sesuatu situasi. Mereka menggunakan imaginasi dan bahasa untuk menyatakan idea, konsep dan keinginan. Mereka juga berupaya mengubah idea menjadi fantasi secara kreatif.

(5)   PERMAINAN MENGIKUT PERATURAN

     Sejak kecil lagi kanak-kanak diajar mematuhi peraturan melalui permainan. Melalui permainan berperaturan, kanak-kanak mempelajari cara-cara mematuhi peraturan, menyesuaikan diri dan menyelesaikan masalah. Kanak-kanak memahami peraturan sosial melalui permainan yang memerlukan mereka mengikut peraturan. Permainan seperti dam, catur, kad dan monopoli mengajar kanak-kanak bahawa setiap individu perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan. Permainan sebegini dapat membantu kanak-kanak memahami konsep-konsep peraturan dan perlunya mematuhi undang-undang.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SAINS UNTUK KANAK-KANAK

1.0    PENGHARGAAN Bismillahirahmanirahim…      Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat illahi dengan limpahan rahmat serta nikmat masa, ...